Friday, October 16, 2009

HADHANAH; SIAPA YANG LEBIH BERHAK

Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,

“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.
(Riwayat Abu Daud)


Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.

Namun bagi anak-nak yang mumayyiz (Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. Walau bagaimanapun menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun) mereka diberi pilihan sendiri untuk menentukan siapa penjaganya sama ada ibu atau bapa. Jika anak itu berdiam diri, maka menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak itu lebih utama diserahkan kepada ibunya.

Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat sepertimana berikut:
“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu”.

Apabila pemeliharaan anak itu dimulai dari ibu maka para Fuqaha mengambil kesimpulan bahawa kerabat dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu hilang kelayakan hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas.

Sumber: http://www.islam.gov.my/e-rujukan/hakwanita.html

1 comment:

  1. kasihan anak-anak yang hidup dalam keretakan rumah tangga hasil tindakan kedua ibu bapanya.Gejala sosial yang berlaku kadang-kala berpunca dari perbuatan tersebut.Islam itu indah kerana lebih mengutamakan wanita dalam penjagaan anak kerana mereka lebih memahami kehendak anak kerana mereka yang mengandung,melahirkan dan mendidikkan.

    ReplyDelete