Thursday, October 15, 2009

ISLAM DAN ILMU PERUBATAN

Tidak dinafikan tokoh-tokoh perubatan Islam banyak menyumbangkan ilmu perubatan mereka kepada dunia perubatan. Kejayaan mereka telah mendapat penghargaaan yang tinggi di kalangan pengarang dunia Barat. Oftalmologi merupakan sumbangan yang terkemuka dalam perubatan Islam. Istilah-istilah seperti retina dan katarak yang digunakan dalam oftalmologi sekarang adalah berasal dari orang Arab. Orang Arab juga telah membuat sumbangan yang penting terhadap beberapa jenis penyakit mata dan rawatannya. Satu keadaan yang dinamakan Pannus terdapat dalam penyakit Trakoma telah dijelaskan oleh orang Arab. Glaukoma merupakan suatu keadaan peningkatan tekanan dalam bebola mata telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh orang Arab.

Sumbangan tamadun Islam terhadap farmasi, farmakologi fan farmakognosi masih ketara hingga kini. Materia media penulisan orang Islam masih lagi digunakan di Afrika Utara, India, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain di Asia. Secara umumnya tokoh-tokoh Islam telah menghasilkan tiga prinsip penting.

Dalam bidang kimia ubat dan alkemi, tokoh-tokoh Islam telah memperkenalkan kepada dunia betapa pentingnya kejituan pemerhatian, kawalan percubaan dan penyimpanan rekod. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip ini masyarakat Islam telah merangsang dan menggalakkan pertumbuhan serta perkembangan kimia di Eropah.

Orang Islam buat pertama kalinya telah menubuhkan kedai apotekari dan dispensari yang mempelopori pusat pengajian farmasi.

Umat Islam merupakan masyarakat yang pertama sekali melaksanakan pengawalan etik farmasi melalui undang-undang pemeriksaan. Formulasi farmaseutikal terkawal telah diterbitkan oleh umat Islam dan menggariskan secara rasmi penyediaan dan penyimpanan ubat.

Di samping itu pelbagai bentuk dos ubat telah dikemukakan oleh tamadun Islam. Diantaranya ialah dalam bentuk salap, serbuk, minyak, pes, pil tablet, rebusan, sirap dan lain-lain. Selain cara-cara membuat ubat, umat Islam adalah umat yang pertama sekali melaksanakan kawalan mutu ke atas hasilnya. Seorang pegawai khas akan dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan pengawalan mutu.

sumber: http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/fadzillah.htm

No comments:

Post a Comment