Saturday, August 29, 2009

Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadhan

image0019.jpg

(Dipetik dari buku Ramadhan: Tetamu Yang Dirindui)

Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya:

BULAN DITURUNKAN AL KITAB

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah.

Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR

Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.

Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125.

Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.

Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.

Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apapbila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1:

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.

Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah. Baca juga di sini. (klik)

PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK

Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab.

Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.

Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.

ISLAM SAMPAI KE YAMAN

Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA

Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.

Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.

PENYERAHAN BANDAR TAIF

Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)

Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL

Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL

Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.

Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.

Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.

Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.

PEPERANGAN YAKHLIZ

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.

TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.

Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung SInai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.

Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan.

Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.

Ramadhan Kareem

Selamat Datang Ramadhan

Ya Ramadhan datang lagi,
Disambut meriah manusia insani,
Berkobar-kobar jiwa saat dinanti,
Moga hebat amal dan budi terisi! :-)

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah Al Baqarah: 183)

Ada yang bertanya,
Apa istimewa Ramadhan pada kita?
Adakah hanya berlapar dan dahaga?
Semuanya adalah untuk Taqwa!

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa (Surah Al Hujurat: 13)

Friday, August 28, 2009

Kelesuan Dan Tingkatan Dalam Mendidik Anak- Anak

Akhir-akhir ini dunia pendidikan seakan-akan menangis melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik. Ada bilik darjah yang dibakar, ada murid yang ingin membakar rumah gurunya, ada pula pelajar yang terbabit dengan jenayah. Gejala apakah ini?

Dahulu, dalam sejarah Melayu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya dan juga guru yang sepatutnya dihormati kini menjadi mangsa kenakalan para pelajar. Hati kecil kita mungkin terdetik persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan para pelajar kita pada hari ini? Lalu siapakah pula yang boleh dipertanggungjawabkan atas ketempangan masalah sosial yang melanda generasi muda kita? Adakah ibu bapa, guru atau pelajar itu sendiri?

Apa yang menghairankan, masalah sosial ini amat ketara melibatkan pelajar yang berasal daripada kaum Melayu. Di manakah puncanya? Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, elok kita cuba merenung dan mendalami bagaimana sistem pendidikan anak-anak menurut kaca mata Islam. Ini merangkumi fasa-fasa tertentu mengikut peningkatan usia seseorang manusia itu.

Sebelum kelahiran:

Dipetik dari peristiwa yang pernah dilalui oleh bapa imam Abu Hanifah:

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapanya.
"tuan, bagaimana tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya?"
jawab bapa Imam Abu Hanifah: "Aku mendidik anakku 40 tahun sebelum beliau dilahirkan"

Peristiwa ini memiliki makna falsafah yang mendalam. Apa maknanya? Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat dan perilaku anak-anak yang akan lahir. Ertinya, perbuatan dan sikap orang tua sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan lahir. Di antara pendapat pakar itu dengan peristiwa diatas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak ‘40 tahun sebelum kelahirannya’ adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam satu syair: “ Kaifama takun yakun abna’aka ” yang bermakna bagaimana kamu hari ini,begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.




Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka. Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.

Setelah kelahiran:

Rasulullah s.a.w membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan,iaitu:

Pertama:
Umur 1-7 tahun. Pada masa ini,Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak terbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.

Kedua:
Umur 7 – 14 tahun. Pada masa ini Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan menyuruh mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah sepuluh tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.

Berdasarkan kajian pakar-pakar jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7-14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibulah yang akan mencorakkannya.

Ketiga:
Umur 14-21 tahun. Pada masa ini orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada yang rasional. Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya punyai tanggungjawab mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

Keempat:
Umur lebih 21 tahun. Pada masa ini , orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita sebagai muslim,kadang-kadang pendidikan yang diajar oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali.

Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sehingga umur 14 tahun dan baru mula mengajar dan menyuruhnya solat pada tahun 15 tahun sehingga mereka bukan sahaja enggan melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang. Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat, maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Padahal hakikat solat mampu mencegah seseorang untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Dengan kata lain, dapat disimpulkan bahawa perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di sekolah mereka, sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak berperanannya hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik yang salah. Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak secara membuta-tuli tanpa melihat umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga anak berasa dizalimi oleh orang tua dari segi hak-hak tertentu.

Natijah daripada sikap seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh daripada orang tua dan menganggap rumah sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan diluar rumah. Dalam Islam persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Sebab jiran yang baik lebih mulia daripada saudara yang jauh. Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik.

Kesimpulannya, pendidikan anak mestilah dimulakan daripada pendidikan orang tua itu sendiri dan ia bermula di rumah. Kedua, kita perlulah menghayati peringkat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam pendidikan anak-anak dan ketiga pilihlah persekitaran yang baik untuk anak-anak. Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik daripada keadaan fizikal tapi baik juga daripada segi mental dan kehidupan beragama.

Friday, August 21, 2009

Assalamualaikum...
Qola habibinal karim Muhammad s.a.w: " Man soma ramadhana imanan wa ihtisaban, ghufira lahu ma taqaddama min zanbih"...
Ahlan ya Ramadhan, kulluna birahmati..

Wednesday, August 5, 2009

IKHL@S



Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. (Az-Zumar 11)

Iblis menjawab, Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka. (Sad 82-83)

Ikhlas. Apa keistimewaan ikhlas sehinggakan orang yang memiliki ciri-ciri itu mendapat keredhaan dan kebaikan dunia akhirat Perkataan ikhlas selalunya digunakan ketika kita sedang memberi sesuatu dengan suka dan rela hati, kerana cinta kepada penerimanya. Tanpa kita sedari, maksud ikhlas itu jauh lebih mendalam. Ada ikhlas di dalam ikhlas dan ada ikhlas lagi di dalamnya. Sejauh mana tahap keihklasan kita -apakah niat kita yang baik pada mulanya semata-mata mendapat keredhaan Allah tapi kemudiannya dipengaruhi syaitan supaya riak itu juga dikira tidak ikhlas.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat Anda tentang seseorang yang keluar (dari rumahnya) untuk berjihad di jalan Allah, dia ingin mencari pahala dan populariti sebagai seorang yang berani, apa yang ia perolehi Nabi menjawab, Tidak ada apa-apa. Walaupun ditanya beberapa kali, jawapan Rasulullah tetap juga sama. Kemudian Nabi bersabda,

'Sesungguhnya Allah tidak menerima segala amal, kecuali amal yang dikerjakan dengan ikhlas dan untuk mencari keredhaan Allah'. (HR An-Nasa'i)

Cuba bayangkan amalan-amalan kita selama ini, apakah ianya benar-benar ikhlas kerana Allah. Apakah anda muslimah memakai jilbab yang labuh supaya kamu dipuji orang ramai dan seronok dengannya Pernahkah anda gembira jika anda dipuji orang-orang tua apabila anda ke masjid

Na'uzubillah.

Lantas, oleh kerana keikhlasan berubah-ubah bersama niat, kita perlu menetapkan niat sebelum melakukan sesuatu perkara. Sebelum keluar ke universiti, tetapkan apa niat kita belajar. Kita tidak sanggup melihat kafirun dan jahiliyyah lagi yang memegang pemerintahan negara. Kita mahu menegakkan agama islam. Kita tidak mahu digelar orang beragama yang tidak berilmu, orang da'wah yang hanya cakap pandai. Inilah sebabnya kita pergi menuntut ilmu. Semuanya lillahita'ala.

Bila anda mula gembira jika dipuji, berhati-hatilah kerana riyak hampir saja timbul lalu memadamkan segala niat awal anda yang ikhlas kerana Allah.

Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia. (Al-Ikhlas 4)

Apakah kita sedangkan menyamakan Allah dengan puji-pujian manusia Na'uzubillah. Anda selalu solat di masjid namun lama-kelamaan ia semakin pudar dengan riyak dalam hati. Rugilah anda. Bukanlah mengatakan solat di masjid itu riyak. Cuma kita perlu berhati-hati antara ikhlas, teladan kepada orang lain atau riyak. Tepuk dada tanya hati.

Ya Allah, apakah amalanku yang selama ini kuanggap ikhlas kerana-Mu telah dikaburi riyak. Ya Allah, jauhkanlah aku yang syirik yang nyata dan yang tidak nyata.

Rasulullah s.a.w bersabda, Mohonlah perlindungan kepada Allah dari Jubbil Huzn. Mereka bertanya, Apakah itu, wahai Rasulullah Nabi s.a.w menjawab, Suatu lembah di Neraka Jahannam, di mana setiap hari, Jahannam sendiri berlindung darinya sebanyak empat ratus kali. Mereka bertanya, Untuk siapakah ini disiapkan, wahai Rasulullah Jawab Nabi, Disiapkan untuk para qari' (pembaca Al-Quran) yang riyak dengan amalan mereka. (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Na'uzubillah.

Betapa bahayanya riyak ke atas diri kita. Halus dan tidak nyata tapi mengubah keikhlasan kita dalam melakukan pekerjaan.

Manusia mengadili hanya dengan deria mereka. Namun, amal semua manusia hanya Allah yang mengetahui.


Tanda-tanda ikhlas dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Menuduh diri berasa kurang sempurna dalam melaksanakan kewajiban kepada Allah.

2. Merasa keikhlasan dalam diri itu tiada dan selalu mempertanya keikhlasan diri sendiri.

3. Tidak terpengaruh dengan ujian atau celaan, tetapi tetap istiqamah.

4. Tidak berubah walaupun manusia berubah dalam hal ketaatan atau kemaksiatan.

5. Niat menjadi pusat pemerhatian dalam kehidupan.

6. Berusaha merahsiakan amal kebaikan kecuali ketika memberi teladan kepada orang lain.


Mungkin, orang yang menangis ketika beribadah di khalayak ramai itu lebih ikhlas daripada orang yang beribadah di dalam bilik seorang diri (yang riyak).

Sumber Ishlahul Qulub @ Menggapai Surga dengan hati, Amr Khalid.