Tuesday, October 13, 2009

PERANAN SISTEM SYURA DALAM PEMILIHAN KHALIFAH

Di dalam Islam, undang-undang ataupun syariat adalah telah ditetapkan oleh Allah s.w.t yang mencakupi segala kehidupan manusia tidak kira dari aspek politik, ekonomi, mahupun sosiol atau muamalat. Oleh itu sistem syura adalah merupakan suatu sistem pemerintahan yang berlandaskan syariat yang telah digariskan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran. Sistem syura ini adalah merupakan suatu sistem yang dicernakan sejak zaman Rasulullah s.a.w untuk melaksanakan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan cara bermusyawwarah.

Dalam sistem syura pemilihan khalifah atau seseorang yang bakal memimpin negara adalah berdasarkan apa yang telah disarankan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran.

Menurut apa terkandung dalam al-Quran seseorang pemimpin itu haruslah mempunyai ciri-ciri atau pun kriteria-kriteria tertentu seperti seorang yang tinggi keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T, mempunyai ilmu pengetahuan yang luas terutamanya dalam konteks politik atau pemerintahan negara serta dalam konteks ekonomi dan sosiol.

Di samping itu juga, seseorang khalifah itu haruslah mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik, serta mempunyai kemahiran dalam bidang pertahanan negara iaitu kemahiran dalam ilmu peperangan.

Dalam konteks yang berlainan, pemimpin yang dilantik mengikut sistem syura adalah berasaskan kebenaran dan menjauhi sebarang bentuk kebatilan yakni pemimpin yang mempunyai sahsiah dan keperibadian yang baik serta bukan dari kalangan orang yang fasik mahupun munafik.

Ini selaras dengan apa yang disarankan dalam al-Quran yang sering menyuruh umat Islam supaya mengikuti kebenaran dan menjaga kebaikan masyarakat manusia dengan tidak mengambil kira terhadap suara dan kehendak golongan majoriti sebagai ukuran yang boleh diterima terutamanya dari segi pemilihan pemimpin. Firman Allah S.W.T dalam Surah Yunus ayat 32 yang bermaksud :
"Tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan"

Dalam ayat yang sama Allah S.W.T berfirman:
apakah orang-orang yang menunjuki kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk?"

Dalam sistem syura, sebelum seseorang itu dilantik menjadi khalifah, calon khalifah itu sendiri dinilai dalam permesyuaratan ahli-ahli majlis syura. Seterusnya ia dinilai berdasarkan persetujuan seluruh rakyat dan rakyat bebas untuk menerima atau menolak seseorang calon khalifah tersebut. Hak kebebasan rakyat dapat dilihat dengan mengkaji terus ucapan khalifah Abu Bakar as-Siddiq seperti berikut :
"Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di antara kamu. Kalau aku lemah kamu betulkanlah aku dan kalau aku berbuat baik, kamu tolonglah aku, benar itu amanah dan dusta itu khianat. Yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengambil hak daripadanya insya`Allah ...."

Daripada ucapan Khalifah Abu bakar ini terdapat beberapa perkara berkaitan kebebasan politik iaitu perkataan yang menyebut "saya telah dilantik ke atas kamu." Ini menunjukkan hak umat untuk memilih ketua negara. Manakala kata-kata "bukankah aku orang paling baik di kalangan kamu." Ini menunjukkan ketua negara adalah juga daripada rakyat negara tersebut.

Selain itu, kata-kata seperti "Jika saya lemah kamu betulkanlah saya, jika saya berbuat baik kamu bantulah saya." Ucapan ini pula menunjukkan hak rakyat yang dianggap sebagai pemerhati bagi sesebuah pemerintahan. "Taatilah aku selagi aku taat kepada Allah, apabila aku durhaka kepada Allah dan Rasulnya kamu tidak wajib taat lagi kepada ku." Kenyataan ini pula menunjukkan, bahawa walaupun seseorang pemerintah itu ada mengikut sistem-sistem dalam sesebuah negara namun apabila beliau tidak lagi mengikut lunas-lunas agama Islam maka rakyat tidak perlu patuh kepadanya.


Hal ini berbeza sama sekali dalam sistem demokrasi apabila seseorang itu telah dilantik menjadi pemimpin, ia perlu patuh dan taat dalam segenap segi walaupun dalam perkara-perkara kemungkaran dan kemaksiatan. Dalam sistem demokrasi, seseorang pemimpin itu hanya boleh digulingkan dalam pilihanraya dan selagi ia memegang jawatannya, rakyat perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan dan hanya boleh mempertikaikannya sekiranya ada sokongan majoriti.

Sumber: anak_pejuang ( cari forum-sistem syura vs sistem demokrasi

1 comment:

  1. sememangnya di dlm penradbiran negara haruslah ada seorg pemimpin dlm menerajui pentadbiran kearah kebaikan.semestinya kita memerlukan pemimpin yg berkebolehan di dlm pelbagai aspek dan pemimpin yg tidak gilakan kuasa. pemilihan pemimpin perlulah diadakan sistem syura yg mana kita sudah ketahui dgn adanya syura membolehkan pemilihan dilakukan dgn adil.

    ReplyDelete