Tuesday, October 6, 2009

Merendah Diri - Akhlak yang Terpuji

Setiap muslim harus sentiasa mengemaskinikan diri dan hati kearah kecemerlangan dari semasa ke semasa agar menjadi insan yang disegani dan dihormati dalam masyarakat serta dirahmati Allah SWT.

Orang Islam yang ada keinsafan yang tinggi, iman yang teguh, akan menerima apa-apa sahaja ketetapan Allah ke atas dirinya. Yang baik itu berbentuk kebahagiaan mahupun yang berbentuk kedukaan, mematuhi setiap hukum dan peraturan dalam Islam dengan penuh rela, pasrah dan tanpa sedikit pun melahirkan tindakan untuk menentang, memprotes atau membantah. Dalam Islam, orang begini disebut sebagai "tawaduk".

Tentu amat sukar bagi sesetengah manusia menerima kenyataan yang ditakdirkan Allah dan mengakuri segala perintahNya, sekiranya semua itu tidak bersesuaian dengan rentak nafsu, keinginan serta cita rasa hatinya. namun begitu, bagi insan yang mengakui banyak kelemahan dan diri hanya tidak lebih sekadar hamba yang hina dan tidak mempunyai apa-apa, maka sudah tentu menerima kenyataan ialah perkara mudah dan menjadi amalan sepanjang kehidupan tanpa rasa takut dan bimbang. sabda baginda SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah Taala memberi wahyu kepadaku, agar kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri ( sombong ) kepada orang lain"

Hikmah disebalik suruhan murni ini ialah sifat tawaduk pasti melahirkan akhlak terpuji iaitu tidak akan menganiaya orang lain dalam apa-apa bentuk sekalipun, bahkan tersemai perasaan saling menyayangi saudara seIslam. tawaduk melenyapkan sikap berbangga diri, sombong dan mementingkan diri sendiri. Sesungguhnya orang yang sombong akan dihumbankan ke neraka jahanam sebagaimana keterangan ayat al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang bersikap sombong dan tidak patuh kepadaKu akan diazabkan di dalam api neraka jahanam dan menderita kehinaan di dalamnya." ( Surah al-Mukmin:60 )

Dalam memperelok budi pekerti dan akhlak muslim sejati, maka adalah sangat bertepatan sekali kalau direnungi hadis yang berikut dan mengamalkannya dengan penuh yakin dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak mengurangkan harta kerana sedekah. Allah menambah kebesaran, (kehebatan) seseoranga yang meminta maaf dan meninggikan darjat orang yang tawaduk."

Hadis tersebut menyatakan bahawa ada tiga perkara yang sering kali diabaikan oleh orang yang bodoh dan sombong serta tidak berfikiran jauh dan matang iaitu:
1. Bersedekah- orang yang bersedekah tidak pernah akan mengurangkan hartanya, bahkan ditambah lagi oleh nikmatNya bagi orang yang mahu bersyukur.

2. Minta maaf kerana bersalah- orang yang sombong menganggap bahawa meminta maaf menandakan kelemahan. Lalu lebih baik meneruskan perkelahian daripada berdamai. Padahal meminta maaf tanda orang yang tawaduk dan suka kepada keharmonian hidup dalam masyarakat.

3. Menerima kenyataan kebenaran- harga diri seseorang tidak akan menjadi rendah dan hina apabila bertawaduk. Bagi orang yang sombong; dia tidak mahu menerima kebenaran yang ada pada orang lain, bahkan berasa terhina untuk mengakui dan mengiktiraf kebenaran yang ada pada orang lain.

Apabila kita perhatikan ketiga-tiga sifat tersebut, semuanya mencerminkan akhlak yang mahmudah yang sinonim dengan ajaran Islam dan diamalkan oleh Nabi SAW. Sebagai seorang Islam, selalulah merujuk kepada akhlak Rasulullah SAW. Dapat kita perhatikan sifat tawaduk Rasulullah SAW dalam kehidupan baginda. Walaupun baginda adalah seorang pemimpin agung, tambahan pula sebagai seorang Rasul yang menjadi kekasih Allah, namun begitu baginda tidak pernah pula berasa malu melakukan pekerjaan memerah susu kambing, menampung baju yang koyak, makan bersama-sama orang miskin atau sekiranya baginda membeli barang-barang dipasar, tidak pernah pula baginda meminta pertolongan orang lain untuk membawa barang-barang beliannya itu.

Sesungguhnya tawaduk bukan bermakna kita berasa diri serba kekurangan, tiada berharga, kurang harta dan lain-lain. Tawaduk sebenarnya berasa sedar atau insaf bahawa diri kita berasal daripada tanah yan g sama sahaja antara satu sama lain kecuali amal bakti dan takwa yang membezakan.





1 comment:

  1. sememangnya kita sbg umat Islam haruslah sentisa berada di dlm keredhaan Allah. jikalau ada insan yg selalu mnyakiti kita haruslah disematkan dlm hati kita "aku dah maafkan" mngkin dgn itu jg hati kita akan menjadi tenang kerana org yg sudi memaafkan kesalahan org lain, insan itu akan berada dibwh kerdhaan Allah.insy'allah..

    ReplyDelete